Saturday 9 November 2019

Permainan Interaktif Di Dalam Kelas


            Generasi pada hari ini adalah generasi yang suka meluangkan masa bersama dengan telefon pintar masing-masing. Kebanyakan daripada masa mereka sehari-hari digunakan untuk telefon pintar mereka. Mereka lebih suka membaca artikel dan sebagainya yang dipaparkan pada skrin berbanding tulisan-tulisan yang terdapat pada helaian kertas.

            Justeru itu, sebagai pendidik yang bijak, lebih baik jika kita mengambil langkah untuk memanfaatkan situasi ini dalam pengajaran dan bukannya berterusan memarahi pelajar untuk mengurangkan masa mereka bersama dengan telefon pintar yang dilihat agar sukar untuk dicapai. Alternatif ini boleh menarik minat pelajar di dalam kelas serta menjadikan suasana pembelajaran lebih ceria dan tidak membosankan. Selain itu, langkah ini juga boleh menjimatkan kos pembelian kertas yang kadang-kadang para guru terpaksa mengeluarkan duit poket mereka sendiri untuk membekalkan nota dan latihan kepada pelajar-pelajar mereka.

            Untuk entri kali ini pula, saya ingin berkongsi salah satu aplikasi yang agak popular dalam kalangan pendidik yang digunakan sebagai pengukuhan dan latihan untuk pelajar sebelum tamat sesuatu sesi pembelajaran. Aplikasi tersebut ialah aplikasi Kahoot. Aplikasi ini adalah aplikasi yang senang untuk dibina sendiri oleh mana-mana guru. Untuk menggunakan kuiz online ini, guru hanya perlu mendaftar akaun secara percuma terlebih dahulu sebelum mula membina soalan kuiz. Aplikasi Kahoot ini menjadikan pelajar bagaikan hilang kawalan ketika menjawab soalan kuiz ini secara online kerana markah akan terus dipaparkan di skrin di hadapan kelas.



Pelajar seronok dan teruja di dalam kelas


            Penggunaan aplikasi Kahoot ini boleh memberikan peluang yang samarata kepada semua pelajar untuk terlibat kerana guru boleh memastikan semua nama pelajar telah terpapar pada skrin di hadapan kelas. Hal ini kerana, sekiranya dibuat pengukuhan dengan bersoaljawab secara verbal sebagaimana kelaziman, hanya sesetengah pelajar yang berani sahaja yang akan bersuara. Impaknya, agak sukar bagi guru untuk mengetahui tahap kefahaman semua pelajar terhadap pelajaran yang telah disampaikan. Kuiz sebegini dapat merangsang minat para pelajar melalui suasana pembelajaran secara interaktif yang mengandungi unsur persaingan. Aplikasi ini boleh digunakan dalam pelbagai peranti seperti telefon pintar, ipad, tablet dan komputer.    






 Pelajar bersemangat dan sentiasa ternanti-nanti untuk melihat keputusan bagi setiap soalan


            Selain itu, setiap kali selesai sesi kuiz online, guru akan diberikan analisis secara terperinci keputusan daripada kuiz online sebentar tadi dalam bentuk Microsoft Excel. Di sini, guru boleh membuat analisa kelemahan-kelemahan yang terdapat pada setiap pelajar untuk dilakukan intervensi bagi memastikan para pelajar berjaya menguasai keseluruhan pelajaran dengan baik.



Pengumuman pemenang kuiz


Analisa penuh secara terperinci keputusan akhir kuiz dalam bentuk Microsoft Excel


            Aplikasi ini dilihat sebagai aplikasi yang sangat secocok dengan kehendak PdP pembelajaran abad ke-21 yang mana dapat menerapkan unsur didik hibur dalam sesi pembelajaran di samping menjadikan suasana penuh keceriaan dan mendidik pelajar menepati masa. Kesan positif daripada aplikasi ini jelas dapat dilihat sehinggakan pelajar meminta daripada guru untuk menjawab lagi set kuiz yang lain dan supaya kuiz sebegini dilaksanakan lagi dalam sesi PdP yang akan datang.

            Namun begitu, kelemahan yang paling ketara daripada penggunaan aplikasi ini adalah apabila digunakan di kawasan yang mempunyai capaian intenet yang lemah. Ini akan menjadikan pelajar-pelajar sukar untuk masuk ke dalam permainan dan guru juga terpaksa set semula kuiz beberapa kali kerana masalah ini. 

            Semoga perkongsian kali ini bermanfaat kepada rakan-rakan pendidik sekalian ke arah menggalakkan pembelajaran abad ke-21 dalam pengajaran kita bersama para pelajar. Selamat mencuba.

Wartawan Muda


            Antara kerisauan dan kebimbangan yang selalu bermain di minda para ustaz dan ustazah ketika ingin menerapkan sistem pembelajaran abad ke-21 dalam pengajaran subjek-subjek agama adalah sekiranya diberikan kebebasan kepada pelajar untuk meneroka dan mencari maklumat sendiri melalui internet dan sebagainya, pelajar-pelajar akan mula mereka-reka dan mengubah hukum-hukum yang telah ditetapkan dalam Islam memandangkan sistem pembelajaran pada hari ini yang bersifat berpusatkan pelajar.

            Namun, sebenarnya sistem pembelajaran abad ke-21 boleh diaplikasi dalam subjek-subjek agama seperti subjek Pendidikan Islam dengan memastikan pelajar-pelajar diberikan pantauan dan bimbingan yang sepatutnya oleh guru. Hal ini bagi memastikan pelajar benar-benar faham bahawa bukan semua maklumat berkaitan agama yang terdapat di dalam internet adalah betul dan bukan semua maklumat tersebut salah bagi memudahkan pelajar untuk mencari sendiri rujukan berkaitan agama di dalam internet tanpa masalah.

            Dalam entri kali ini pula, saya ingin berkongsi metod lain bagi mengaplikasi teknologi dalam subjek Pendidikan Islam. Pada kali ini, seminggu sebelum kelas, saya telah memberikan satu tugasan kepada pelajar yang mana mereka perlu merakam satu sesi temuduga dengan pelajar-pelajar lain secara spontan untuk mengetahui tahap kepekaan dan pengetahuan pelajar tentang Rasulullah SAW dan sunnah-sunnah Baginda SAW memandangkan pelajaran tersebut berkaitan adab terhadap Rasulullah SAW.





Antara video menarik yang dihasilkan oleh pelajar 


       Tugasan ini dilakukan secara berkumpulan. Para pelajar diberikan kebebasan untuk menggunakan mana-mana aplikasi yang dirasakan sesuai. Antaranya adalah seperti IMovie, Funimate, Vllo, Filmora, Kinemaster dan In Shot. Saya telah meminta pelajar untuk menghantar video-video mereka melalui aplikasi Telegram berbanding Whatsapp bagi memastikan kualiti video dikekalkan sebagaimana asal. 





            Saya menayangkan video-video ini di dalam kelas sebagai set induksi untuk menarik minat pelajar untuk fokus dalam pelajaran pada hari tersebut. Bagi menghargai usaha yang baik daripada kumpulan yang berjaya menyediakan video yang menarik dan kreatif, saya telah memberikan sedikit hadiah yang menjadikan suasana di dalam kelas lebih ceria.



Pelajar seronok menonton video yang dihasilkan oleh rakan-rakan


            Di akhir kelas pula, saya telah meninggalkan tugasan untuk dijawab oleh pelajar sebagai pengukuhan bagi pelajaran yang telah dipelajari di dalam kelas dengan menggunakan aplikasi Padlet. Padlet merupakan pengganti kepada Parking Lot yang berbentuk poster yang selalu di tampal di dinding kelas bagi tujuan untuk mendapatkan respon secara bertulis daripada pelajar samada soalan, idea, masalah, kebimbangan, keperluan atau apa sahaja yang diperlukan untuk memajukan diri pelajar.

            Dalam penggunaan aplikasi Padlet, bagi pelajar yang agak pemalu dan ingin menyembunyikan identitinya daripada umum, pelajar boleh memberikan respon mereka tanpa perlu log in terlebih dahulu. Ini berguna bagi menggalakkan pelajar-pelajar yang sebegini untuk turut melibatkan diri dalam perbincangan bersama-sama dengan pelajar yang lain. Tambahan pula, guru dan pelajar boleh memberikan komentar atau memberikan markah kepada respon pelajar yang lain dalam pelbagai bentuk samada diberikan markah, like dan dislike, bintang dan sebagainya.





Parking Lot versi digital


            Berbanding Parking Lot, dalam aplikasi Padlet, guru boleh menyemak masa dan tarikh respon tersebut dibuat oleh pelajar. Ini bagi memastikan pelajar menyiapkan tugasan yang diberikan dalam masa yang telah ditetapkan. Aplikasi yang ringkas dan mudah ini amat sesuai untuk digunakan oleh guru-guru yang agak kurang berkemahiran berkaitan komputer dan teknologi.

            Semoga entri kali ini bermanfaat untuk rakan-rakan pendidik sekalian dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran di dalam kelas. Selamat mencuba.

Pembentangan Dalam Kumpulan


Pendidikan pada hari ini telah mengalami perubahan disebabkan oleh kehendak peredaran zaman. Jika pada suatu masa dahulu, sesuatu ilmu itu disampaikan melalui kaedah chalk and talk sahaja, namun pada hari ini kaedah tersebut dilihat sebagai kurang berkesan dan kurang releven lagi kerana generasi pada hari ini akan cepat bosan dan mudah tertidur ketika di dalam kelas.

Pendidikan pada hari ini memerlukan sesorang pendidik untuk bertindak lebih kepada sebagai fasilitator di dalam kelas yang akan menggerakkan aktiviti pembelajaran supaya pelajar dapat belajar secara dinamik dan menyeronokkan. Setiap yang bergelar sebagai guru perlu lebih kreatif dan mempelbagaikan kaedah pengajaran di dalam kelas bagi memastikan pelajar berjaya menguasai topik dengan lebih baik dan menjadikan pelajar lebih bersemangat untuk belajar.

            Salah satu daripada daripada rakan karib kepada para pendidik di dalam kelas adalah teknologi. Jadi dalam entri ini saya ingin berkongsi tentang salah satu daripada bantuan teknologi di dalam kelas yang boleh diaplikasi oleh ustaz dan ustazah di luar sana yang mungkin sedang mencari idea untuk aktiviti di dalam kelas bersama pelajar.

             Bagi subjek Pendidikan Islam, saya akan membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada 2 - 3 orang ahli. Setiap kumpulan akan diberikan satu topik daripada bahagian sirah dan tokoh. Setiap kumpulan perlu menyediakan slide untuk digunakan ketika membuat pembentangan di hadapan kelas. Pelajar-pelajar juga perlu mencari gambar-gambar atau video yang berkaitan dengan topik yang dirasakan sesuai untuk ditayang ketika pembentangan bagi menarik minat pelajar-pelajar lain ketika mendengar pembentangan daripada mereka.




                                               
Contoh slide menarik yang disediakan oleh pelajar


            Pelajar diberikan kebebasan untuk menggunakan mana-mana aplikasi atau software yang sesuai dalam penyediaan slide. Selain daripada penggunaan Microsoft Power Point, pelajar-pelajar juga turut menggunakan canva, prezi dan sebagainya untuk menyediakan slide pembentangan mereka.



Sesi pembentangan oleh pelajar


            Saya memilih kaedah ini dalam pengajaran bukan sahaja untuk menjadikan suasana yang lebih ceria di dalam kelas, bahkan kaedah ini juga boleh merangsang kreativiti kerana kita memberikan kebebasan yang sepenuhnya kepada pelajar untuk menyediakan slide mereka sendiri. Selain itu, kaedah ini juga mampu meningkatkan kemahiran komunikasi serta kemahiran pelajar menggunakan komputer dan gadget bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dengan kehendak pada zaman mereka yang memerlukan seorang pelajar yang berkemahiran dan bersifat holistik.





            Meskipun begitu, pembelajaran dengan kaedah ini boleh jadi membosankan  sekiranya pelajar tidak membuat persiapan yang secukupnya untuk bercakap di hadapan kelas dan gagal menyediakan slide yang menarik. Guru perlulah bertindak lebih bijak untuk mengawal situasi tersebut bagi mengelakkan ramai pelajar tertidur di dalam kelas.

            Semoga entri ini bermanfaat untuk para guru terutamanya para ustaz dan ustazah bagi menjadikan subjek Pendidikan Islam sebagai subjek yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pelajar-pelajar kita. Selamat mencuba.