Saturday 9 November 2019

Wartawan Muda


            Antara kerisauan dan kebimbangan yang selalu bermain di minda para ustaz dan ustazah ketika ingin menerapkan sistem pembelajaran abad ke-21 dalam pengajaran subjek-subjek agama adalah sekiranya diberikan kebebasan kepada pelajar untuk meneroka dan mencari maklumat sendiri melalui internet dan sebagainya, pelajar-pelajar akan mula mereka-reka dan mengubah hukum-hukum yang telah ditetapkan dalam Islam memandangkan sistem pembelajaran pada hari ini yang bersifat berpusatkan pelajar.

            Namun, sebenarnya sistem pembelajaran abad ke-21 boleh diaplikasi dalam subjek-subjek agama seperti subjek Pendidikan Islam dengan memastikan pelajar-pelajar diberikan pantauan dan bimbingan yang sepatutnya oleh guru. Hal ini bagi memastikan pelajar benar-benar faham bahawa bukan semua maklumat berkaitan agama yang terdapat di dalam internet adalah betul dan bukan semua maklumat tersebut salah bagi memudahkan pelajar untuk mencari sendiri rujukan berkaitan agama di dalam internet tanpa masalah.

            Dalam entri kali ini pula, saya ingin berkongsi metod lain bagi mengaplikasi teknologi dalam subjek Pendidikan Islam. Pada kali ini, seminggu sebelum kelas, saya telah memberikan satu tugasan kepada pelajar yang mana mereka perlu merakam satu sesi temuduga dengan pelajar-pelajar lain secara spontan untuk mengetahui tahap kepekaan dan pengetahuan pelajar tentang Rasulullah SAW dan sunnah-sunnah Baginda SAW memandangkan pelajaran tersebut berkaitan adab terhadap Rasulullah SAW.





Antara video menarik yang dihasilkan oleh pelajar 


       Tugasan ini dilakukan secara berkumpulan. Para pelajar diberikan kebebasan untuk menggunakan mana-mana aplikasi yang dirasakan sesuai. Antaranya adalah seperti IMovie, Funimate, Vllo, Filmora, Kinemaster dan In Shot. Saya telah meminta pelajar untuk menghantar video-video mereka melalui aplikasi Telegram berbanding Whatsapp bagi memastikan kualiti video dikekalkan sebagaimana asal. 





            Saya menayangkan video-video ini di dalam kelas sebagai set induksi untuk menarik minat pelajar untuk fokus dalam pelajaran pada hari tersebut. Bagi menghargai usaha yang baik daripada kumpulan yang berjaya menyediakan video yang menarik dan kreatif, saya telah memberikan sedikit hadiah yang menjadikan suasana di dalam kelas lebih ceria.



Pelajar seronok menonton video yang dihasilkan oleh rakan-rakan


            Di akhir kelas pula, saya telah meninggalkan tugasan untuk dijawab oleh pelajar sebagai pengukuhan bagi pelajaran yang telah dipelajari di dalam kelas dengan menggunakan aplikasi Padlet. Padlet merupakan pengganti kepada Parking Lot yang berbentuk poster yang selalu di tampal di dinding kelas bagi tujuan untuk mendapatkan respon secara bertulis daripada pelajar samada soalan, idea, masalah, kebimbangan, keperluan atau apa sahaja yang diperlukan untuk memajukan diri pelajar.

            Dalam penggunaan aplikasi Padlet, bagi pelajar yang agak pemalu dan ingin menyembunyikan identitinya daripada umum, pelajar boleh memberikan respon mereka tanpa perlu log in terlebih dahulu. Ini berguna bagi menggalakkan pelajar-pelajar yang sebegini untuk turut melibatkan diri dalam perbincangan bersama-sama dengan pelajar yang lain. Tambahan pula, guru dan pelajar boleh memberikan komentar atau memberikan markah kepada respon pelajar yang lain dalam pelbagai bentuk samada diberikan markah, like dan dislike, bintang dan sebagainya.





Parking Lot versi digital


            Berbanding Parking Lot, dalam aplikasi Padlet, guru boleh menyemak masa dan tarikh respon tersebut dibuat oleh pelajar. Ini bagi memastikan pelajar menyiapkan tugasan yang diberikan dalam masa yang telah ditetapkan. Aplikasi yang ringkas dan mudah ini amat sesuai untuk digunakan oleh guru-guru yang agak kurang berkemahiran berkaitan komputer dan teknologi.

            Semoga entri kali ini bermanfaat untuk rakan-rakan pendidik sekalian dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran di dalam kelas. Selamat mencuba.

5 comments: