Antara
kerisauan dan kebimbangan yang selalu bermain di minda para ustaz dan ustazah
ketika ingin menerapkan sistem pembelajaran abad ke-21 dalam pengajaran
subjek-subjek agama adalah sekiranya diberikan kebebasan kepada pelajar untuk
meneroka dan mencari maklumat sendiri melalui internet dan sebagainya,
pelajar-pelajar akan mula mereka-reka dan mengubah hukum-hukum yang telah
ditetapkan dalam Islam memandangkan sistem pembelajaran pada hari ini yang
bersifat berpusatkan pelajar.
Namun,
sebenarnya sistem pembelajaran abad ke-21 boleh diaplikasi dalam subjek-subjek
agama seperti subjek Pendidikan Islam dengan memastikan pelajar-pelajar
diberikan pantauan dan bimbingan yang sepatutnya oleh guru. Hal ini bagi
memastikan pelajar benar-benar faham bahawa bukan semua maklumat berkaitan
agama yang terdapat di dalam internet adalah betul dan bukan semua maklumat
tersebut salah bagi memudahkan pelajar untuk mencari sendiri rujukan berkaitan
agama di dalam internet tanpa masalah.
Dalam entri
kali ini pula, saya ingin berkongsi metod lain bagi mengaplikasi teknologi
dalam subjek Pendidikan Islam. Pada kali ini, seminggu sebelum kelas, saya
telah memberikan satu tugasan kepada pelajar yang mana mereka perlu merakam
satu sesi temuduga dengan pelajar-pelajar lain secara spontan untuk mengetahui
tahap kepekaan dan pengetahuan pelajar tentang Rasulullah SAW dan sunnah-sunnah
Baginda SAW memandangkan pelajaran tersebut berkaitan adab terhadap Rasulullah
SAW.
Antara video menarik yang dihasilkan oleh pelajar
Tugasan ini dilakukan secara berkumpulan. Para pelajar diberikan
kebebasan untuk menggunakan mana-mana aplikasi yang dirasakan sesuai. Antaranya
adalah seperti IMovie, Funimate, Vllo, Filmora, Kinemaster
dan In Shot. Saya telah meminta pelajar untuk menghantar video-video
mereka melalui aplikasi Telegram berbanding Whatsapp bagi
memastikan kualiti video dikekalkan sebagaimana asal.
Saya
menayangkan video-video ini di dalam kelas sebagai set induksi untuk menarik
minat pelajar untuk fokus dalam pelajaran pada hari tersebut. Bagi menghargai
usaha yang baik daripada kumpulan yang berjaya menyediakan video yang menarik
dan kreatif, saya telah memberikan sedikit hadiah yang menjadikan suasana di
dalam kelas lebih ceria.
Pelajar seronok menonton video yang dihasilkan oleh rakan-rakan
Di akhir
kelas pula, saya telah meninggalkan tugasan untuk dijawab oleh pelajar sebagai pengukuhan
bagi pelajaran yang telah dipelajari di dalam kelas dengan menggunakan aplikasi
Padlet. Padlet merupakan pengganti kepada Parking Lot yang
berbentuk poster yang selalu di tampal di dinding kelas bagi tujuan untuk
mendapatkan respon secara bertulis daripada pelajar samada soalan, idea,
masalah, kebimbangan, keperluan atau apa sahaja yang diperlukan untuk memajukan
diri pelajar.
Dalam penggunaan
aplikasi Padlet, bagi pelajar yang agak pemalu dan ingin menyembunyikan
identitinya daripada umum, pelajar boleh memberikan respon mereka tanpa perlu log
in terlebih dahulu. Ini berguna bagi menggalakkan pelajar-pelajar yang
sebegini untuk turut melibatkan diri dalam perbincangan bersama-sama dengan
pelajar yang lain. Tambahan pula, guru dan pelajar boleh memberikan komentar
atau memberikan markah kepada respon pelajar yang lain dalam pelbagai bentuk
samada diberikan markah, like dan dislike, bintang dan
sebagainya.
Parking Lot versi digital
Berbanding Parking
Lot, dalam aplikasi Padlet, guru boleh menyemak masa dan tarikh respon
tersebut dibuat oleh pelajar. Ini bagi memastikan pelajar menyiapkan tugasan
yang diberikan dalam masa yang telah ditetapkan. Aplikasi yang ringkas dan
mudah ini amat sesuai untuk digunakan oleh guru-guru yang agak kurang berkemahiran
berkaitan komputer dan teknologi.
Semoga entri
kali ini bermanfaat untuk rakan-rakan pendidik sekalian dalam mempelbagaikan
kaedah pengajaran di dalam kelas. Selamat mencuba.
Terbaik
ReplyDeletetebaik ustazzz,,, macam2 aplikasi ustaz tau
ReplyDeletemenarik..
ReplyDeleteMenarik ,saya suka
ReplyDeleteTerbaek!!! Inovasi yang sangat kreatif!
ReplyDelete